Tuesday, November 08, 2011

Kaunseling Kelompok Untuk Perokok




Pengenalan
Bahaya merokok pada kesihatan telah banyak didokumentasikan. Pemberhentian amalan ini merupakan salah satu kaedah pencegahan terhadap risiko pelbagai penyakit kardiovaskular dan pernafasan yang berkesan. Pembangunan sosial bukan telah membawa kepada banyak kemajuan hidup manusia, tetapi juga telah banyak menyumbang kepada perkembangan pola baru penyakit moden seperti kanser, penyakit jantung, kemalangan jalan raya, penagihan dan sebagainya. Merokok telah dilapor sebagai satu epidemik terutamanya bagi negara mundur dan negara membangun termasuk Malaysia, sedangkan di negara maju kadarnya terus menurun. Kempen projosi yang agresif oleh syarikat rokok secara disedari atau sebaliknya telah banyak mempengaruhi ke arah kecenderungan dependen ekonomi dan budaya sesuatu masyarakat pada industri rokok dan yang berkaitan.

Pelbagai kaedah telah dicuba, dikaji dan diguna bagi membendung dan modifikasi amalan ini.
Ini termasuklah, modifikasi tingkahlaku, kaunseling, pendidikan kesihatan, hipnosis, penggunaan ubatan dan nikotin gantian, merokok tubi, akupuntur, homeopati dan sebagainya. Perokok baru dan perokok ringan dilaporkan telah berhenti merokok dengan kadar 2-7% walaupun tanpa apa-apa bantuan profesional. Penggunaan kaedah secara kombinasi telah dapat meningkatkan keberkesanan intervensi secara umum ke tahap 20-25% kekal tanpa rokok selepas setahun berhenti. Kaunseling kelompok, sebagai kaedah alternatif, walaupun secara relatif ianya baru, ia telah semakin popular kerana kesesuaiannya pada kelompok perokok yang sukar untuk berhenti dan keberkesanannya yang lebih menggalakkan. Rencana ini akan membincang penggunaan kauseling kelompok untuk modifikasi amalan merokok di kaalangan warga penjara.

Pendekatan Kaunseling


Motivasi merupakan faktor utama dalam modifikasi amalan merokok dan penagihan lainnya. Taksiran dan pengukuhan tahap motivasi merupakan elemen teras dalam program ini. Prochanska dan DiClemente telah mencadangkan model tahap perubahan motivasi di mana seseorang perokok dapat diklasifikasikan kepada empat tahap iaitu tahap Pra Kontemplasi, Kontemplasi, Tindakan dan Maintenan.

Berhenti merokok merupakan satu keputusan yang penting dan besar; terutama bagi mereka yang telah lama dan banyak merokok. Pengambilan keputusan ini mempunyai kesan positif dan negatif pada aspek mental, fizikal dan sosial diri perokok secara jangka pendek dan jangka panjang. Banyak prosedur yang telah dicadangkan.

Bergland, Krumboltz, Mitchell dan Gelatt telah mencadangkan langkah-langkah untuk mengambil keputusan. Walaupun ia dicadangkan untuk kaunseling berjaya, langkah-langkah ini sesuai diaplikasikan dalam kaunseling modifikasi tingkahlaku merokok. Dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, kaunselor membantu klien dalam mengenalpasti merokok sebagai satu masalah, mengumpul maklumat, menimbulkan pilihan lain selain merokok, meningkatkan pengetahuan dan maklumat mengenai masalah dan keburukan merokok, merancang dan memilih matlamat dan akhir sekali melaksana dan melakukan penilaian ke atasnya.

Pada lazimnya, intervensi seperti ini menekankan pada matlamat untuk berhenti merokok; tetapi sebagaimana yang dicadangkan oleh Carl Rogers, tumpuan pada keperluan klien adalah lebih penting. Dalam kaunseling yang dijalankan, matlamatnya ditentukan oleh klien dan pilihan yang ada meliputi berhenti terus dari merokok, berhenti secara beransur-ansur dalam jangka masa yang ditetapkan, mengurangkan jumlah rokok, merokok pada kadar yang sama tetapi dengan cara yang kurang membahayakan dan akhir sekali perubahan sikap terhadap amalan merokok.

Pemilihan dan Penapisan Ahli Kelompok

Ahli kelompok dipilih berdasarkan kepada persamaan dalam kehidupan harian. Penekanan diberi kepada kelompok kawan terdekat, kelompok kerja, kelab, permainan, pendidikan dan seumpamanya. Setelah kelompok dikenalpasti, mereka ditapis dari aspke motivasi mereka dan pada umumnya sesi kaunseling dilakukan pada tahap motivasi yang hampir sama.

Aktiviti Kaunseling Kelompok


Pakej yang dijalankan terdiri dari lima sesi di mana setiap sesi berlangsung selama satu hingga dua jam. Jika keadaan memerlukan, beberapa sesi boleh dicantumkan. Pada asasnya sesi pertama dan kedua merupakan sesi persiapan di mana pengalaman dan pandangan klien diguna untuk membincang masalah, pola merokok, mengumpul maklumat tentang kebaikan dan keburukan merokok, cara berhenti merokok dan kesan selepas berhenti merokok. Ujian kesihatan/makmal jika ada kemudahan bolehlah diguna untuk mengukuhkan perbincangan. Di akhir sesi kedua, kaunselor membantu klien mengambil keputusan untuk berhenti merokok atau tidak. Kesungguhan terhadap matlamat yang ditetapkan, ditandai dengan menandatangani kontrak dihadapan kaunselor. Sesi pertama dan kedua biasanya diadakan pada hari yang sama atau selepas selang hari. Setelah tamat sesi kedua, klien akan melaksanakan rancangan yang telah ditetapkan sama ada berhenti merokok atau mengurangkan jumlah rokok sehinggalah ke sesi ketiga.


Sesi ketiga diadakan satu hari atau seminggu selepas sesi kedua. Dalam sesi ini status merokok dan masalah selepas berhenti merokok dibincang. Perbincangan juga dilakukan mengenai kemahiran khusus daya tindak bila menghadapi rakan merokok danmodifikasi yang boleh dilakukan terhadap persekitaran perokok.

Sesi keempat diadakan sehari atau seminggu selepas sesi ketiga. Dalam sessi ini juga dibincang mengenai status merokok, masalah yang dihadapi, cara pemakann yang betul, diet pengurangan berat badan dan senaman.

Sesi kelima adalah sesi penilaian. Dalam sesi ini, sekali lagi ditentukan status perokok melalui maklumbalas lisan dan disahkan melalui pemeriksaan kontinin urin, CO dalam udara pernafasan dan pemeriksaan berat badan. Juga dibincang tentang masalah kesan penarikan yang dialami dan pengendalian stress. Penilaian kaunseling dilakukan dengan mengisi borang penilaian yang disediakan.


Penilaian Keberkesanan Kaunseling


Walaupun sesi kaunseling dilakukan secara kelompok, penilaian keberkesanan dilakukan terhadap matlamat yang telah dipersetujui bersama. Status merokok divalidasi melalui ujian Karbon Monoksida dan Ujian Kotinin dalam urin. Petunjuk-petunjuk lain seperti perubahan sikap dan amalan diukur melalui soalselidik ringkas. Penilaian ini dilakukan pada akhir sesi kelima, akhir bulan pertama, akhir bulan ketiga, akhir bulan ke enam dan selepas bulan ke dua belas.


Kelebihan dan Keberkesanan Kaunseling Perokok


Proses kaunseling kelompok dibina atas teori mengenai manusia dan perhubungan antara mereka. Melalui kaunseling kelompok, ahli dapat meluahkan tanggapan, kepercayaan dan masalah mereka. Kelompok juga menyediakan penggerak, sokongan dan pemantauan di kalangan ahli dalam proses pengambilan keputusan serta tindakan perubahan tingkahlaku yang dirancang.

Pengalaman melakukan kaunseling kelompk di kalangan pelbagai betuk kelompok perokok di Tanjung Karang (Hasbari, Khalid Halim Othman 1994) telah menunjukkan sebagai satu contoh keberkesanan yang menggalakkan. Sehingga akhir Mei 1993, seramai 74 perokok mewakili 9 kelompok masyarakat yang terdiri dari kelompok masyarakat petani, kakitangan hospital daerah, kakitangan polis, bomba, guru, murid sekolah menengah, pelajar universiti, pekerja kilang dan kakitangan Jabatan Saliran dan Pengairan telah dilibatkan.

Penilaian di akhir sesi kelima, didapati lebih 90% peserta menganggap kaedah ini sangat berfaedah dan membantu untuk modifikasi tingkahlaku merokok. Seramai 24 klien (32.4%) menetapkan matlamat untuk berhenti terus, 38 klien (51.4%) ingin berhenti secara beransur-ansur dan 12 klien (16.2%) ingin setakat mengurangkan jumlah rokok sahaja. Purata paras kotinin urin telah menurun dari 6.56 mg/ml kepada 3.72 mg/ml di mana di akhir sesi, seramai 29 klien (42.6%) mempunyai paras kotini yang normal berbanding hanya 13 klien (5.4%) sahaja di awal sesi pertama.

Di akhir sesi kelima, sermai 34 klien (49.5%) telah berhenti merokok dan bakinya telah berjaya mengurangkan jumlah rokok ke paras yang dirancang. Penilaian keberkesanan jangka panjang belum lagi dilakukan. Bagaimanapun hasil awal ini setaraf dengan hasil awal di mana intervensi seumpama ini telah lama dan bertapak kukuh dilakukan terutama di Amerika dan Australia. Keberkesanan berhenti merokok 50-70% di akhir sesi dan 25-35% masih kekal tanpa rokok selepas setahun merupakan hasil intervensi yang biasa dan telah dijangka.

Walaupun hasil yang saya dapati dari petunjuk berhenti merokok adalah relatif lebih rendah, perbezaan dari segi objektif kaunseling, perbezaan budaya dan penggunaan kaedah yang dianggap masih di tahap awal mungkin menjadi faktor penyebabnya.


Sokongan


Suasana dinamik kelompok banyak mempengaruhi proses dan keberkesanan kaunseling. Matlamat individu boleh berubah dengan adanya pengaruh pemimpin kelompok. Adanya pendapat majoriti terhadap sesuatu isu boleh menjejaskan mesej yang ingin disampaikan. Rasa kompetitif dalam kelompok jika tidak terkawal, boleh menyebabkan keciciran klien dari mengikuti sesi kaunseling dengan lengkap. Masa yang relatif lama diguna bagi setiap sesi mungkin menjadi halangan bagi profesional perubatan yang sibuk, tetapi ini menjelaskan pula peningkatan keperluan kaunselor terlatih dalam suasana kemudahan pencegahan merokok di kalangan warga penjara.


Kesimpulan


Kaunseling kelompok jika dilakukan dengan teliti berpotensi besar untuk menjadi kaedah alternatif yang praktikal dan berkesan dalam modifikasi tingkahlaku merokok di kalangan warga penjara dan juga banduan.


Rujukan
Aminah Haji Hashim & Asmah Ismail. Asas Kaunseling Kelompok UKM 1999, Kuala Lumpur 
Hasbami Bohari, Khalid Yusoff dan Abd. Halim Othman, 1994. Jernal Perkama. 
Rogers, CR (1951). Client Centered Therapy. Houghton, Mufflin, Boston

0 comments:

Post a Comment

Dah baca tu, komen la sikit

Bimbingan dan Kaunseling SMKJP 2011 © All Rights Reserved
Best View With Google Chrome